Tuesday 8 July 2014

PT3 - KAJIAN GEOGRAFI - PANDUAN


Tajuk: Isu Pencemaran Udara Di Bandaraya Kuala Lumpur (anda boleh pilih sama ada udara, air, tanih)

Objektif kajian: Objektif utama adalah menyiasat punca, kesan dan langkah pencemaran udara di bandaraya Kuala Lumpur (kes kajian mesti di tempat anda sendiri)

contoh:
a) Menerangkan konsep pencemaran alam sekitar (pencemaran udara, air atau tanih)
b) Mengkaji faktor atau punca pencemaran alam sekitar di bandaraya kuala lumpur
c) Mengkaji kesan pencemaran alam sekitar di bandaraya kuala lumpur
d) Mencadangkan langkah untuk mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar di bandaraya Kuala Lumpur

Kaedah kajian: Borang kaji selidik, Kaedah Temubual, Rakaman Audio atau Visual

1. Konsep dan takrifan pencemaran alam yang dikaji 
(pilih mengikut tajuk yang anda pilih sama ada pencemaran udara, air atau tanih)

Pencemaran Udara : 
Menurut Wikipedia, pencemaran udara bermaksud satu keadaan yang melibatkan bahan kimia, jirim zarahan yang terkandung dalam udara sehingga berlakunya perubahan dan ketidakselesaan. Bahan-bahan tersebut terampai di udara dan memberi kesan negatif kepada manusia, tumbuhan dan haiwan. Antara penyebab utama pencemaran udara adalah melalui pembebasan asap kenderaan, pelepasan asap kilang dan sebagainya. 

Pencemaran Air :
Menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pencemaran air didefinikan sebagai apa-apa perubahan langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizikal, haba, biologi atau radioaktif iaitu mana-mana bahagian alam sekitar yang melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan ini sehingga menjejaskan kegunaannya dan menyebabkan suatu keadaan berbahaya dan memudaratkan kesihatan kepada orang awam. Pencemaran air juga memberi kesan kepada hidupan lain termasuk hidupan akuatik. 

Pencemaran Tanih :
Pencemaran tanih dapat ditakrifkan sebagai perbuatan yang berlaku kepada sesuatu kawasan sehingga terjadi pertukaran warna, kesuburan dan hakisan. Ia disebabkan oleh bahan buangan dalam bentuk cecair atau pepejal. Pembuangan sampah saran dan kumbahan yang tidak terkawal merupakan salah satu punca yang menyebabkan pencemaran tanah berlaku.

Pencemaran Bau:
satu perbuatan yang boleh mencemarkan kebersihan alam sekeliling dengan bau yang tidak disenangi sehingga memberikan kesan negative kepada haiwan dan manusia

2. Faktor atau punca kejadian pencemaran alam sekitar tersebut
(huraikan punca kejadian yang berkaitan dengan jelas dan teratur serta menunjukkan keaslian dan kritis. anda perlu menghuraikan mengikut kajian kes di tempat anda sendiri. dan huraikan juga mengikut ayat anda sendiri)

Faktor dan Punca Pencemaran Udara
Antara penyebab utama pencemaran udara adalah:
  • Pencemaran udara boleh berpunca daripada pelepasan asap kenderaan.
  • Penghasilan bahan pencemaran oleh kilang asbestos,simen atau bateri kereta.
  • Pembakaran di tempat pelupusan, pembakaran terbuka di bandar dan pembakaran hutan yang berleluasa juga boleh menyebabkan pencemaran udara berlaku.
  • Penyemburan racun makhluk perosak
  • Aktiviti perlombongan yang menghasilkan habuk
  • Amalan pertanian seperti pendebungaan dan penyemburan baja secara penyerakan habuk atau debu akibat tiupan angin.
  • Letusan gunung berapi
  • Pelepasan asap kenderaan
  • Aktiviti Perindustrian dan pembangunan
Faktor dan Punca Pencemaran Air
Antara penyebab utama pencemaran air adalah:

1. Limpahan Minyak Ke Dalam Laut
Cari gali petroleum di dasar laut dan tumpahan minyak adalah antara punca pencemaran air. Penggerudian perigi-perigi minyak manusia untuk mendapat minyak mentah dan letupan tangki minyak menyumbang kepada keadaan ini. Apabila minyak bercampur dengan air laut,ia akan mengakibatkan air tercemar. Tumbahan minyak akan mengapung menutupi permukaan air, lapisan minyak di permukaan akan mengganggu mikroorganisma dalam air kerana lapisan tersebut akan menghalangi oksigen dari udara ke dalam air sehingga oksigen terlarut akan berkurang. Selain itu,lapisan tersebut akan menghalangi masuknya sinaran matahari ke dalam air, sehingga fotosintesi terganggu.Burung laut pula terganggu kerana bulunya jadi berminyak,t idak dapat mengembang lagi dan tidak dapat terbang ke tempat lain untuk mencari makanan dan akhirnya mati kelaparan. Ini dapat dijelaskan dengan perkara letupan tangki minyak di Teluk Mexico. Ia telah menyebabkan ekosistem di sekitar perairan Teluk Mexico terganggu.

2. Sisa Buangan Dari Kilang
Kilang-kilang dibina di sepanjang sungai untuk memastikan bahan-bahan buangan boleh terus disalirkan ke dalam sungai-sungai. Masalah timbul apabila cecair kimia yang disalurkan ke dalam sungai tidak dirawat dan mengandungi bahan toksik yang mencemarkan air sungai. Kebanyakan kilang membuang sisa cecair ke dalam sungai yang mengakibatkan sungai tercemar. Bahan toksik ialah sejenis pencemaran berbentuk kimia yang mengugat kehidupan akuatik. Pencemaran boleh menyebabkan berlakunya pengurangan kadar oksigen di dalam air dan mengancam hidupan akuatik.

3. Bahan Buangan Domestik Dan Organik
Bahan-bahan buangan domestik yang terdiri daripada sampah sarap dan bahan kumbahan dibuang ke dalam sungai seperti sampah, minyak dan najis daripada individu yang tidak bertanggungjawab. Apabila bahan buangan domestik ini dibuang dalam sungai, maka air sungai akan menjadi keruh, berkeladak dan kotor, ini akan menyebabkan organisma aquatik tidak dapat menyesuai dalam air yang begitu keruh, padahnya maut. Bahan organik adalah seperti baja.

4. Pertanian
Pertanian juga punca pencemaran air. Kegiatan dalam pertanian seperti mananam sayur-sayuran dan padi menghasilkan banyak bahan kimia cecair yang disalirkan ke dalam sungai-sungai. Pestisid dan insektisid atau dikenali racun perosak disembur untuk membunuh haiwan perosak dan ia telah mencemarkan sumber air dengan pengaliran sisa-sisa racun perosak ke dalam sungai apabila hujan. Air sungai yang mengandungi sisa-sisa racun ini akan memudaratkan kesihatan manusia apabila digunakan.


Faktor dan Punca Pencemaran Bau
Antara penyebab utama pencemaran bau adalah:


1. dari kawasan pelupusan sampah.

Longgokan sampah di tempat pembuangan sampah yang lazimnya terletak di sebelah kantin sekolah sering menimbulkan bau busuk.Ini mengganggu keselesaan warga sekolah.



 2. dari kawasan penternakan ayam.

Sikap segelintir penduduk yang memelihara ayam berhampiran pagar sekolah, juga menganggu keselesaan warga sekolah. Bau busuk najis ayam memang mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran terutamanya di waktu pagi.



3. dari kawasan perniagaan kedai-kedai makanan.

Pembuangan sisa-sisa makanan ke dalam longkang oleh peniaga kedai makan menyebabkan longkang tersumbat. Keadaan ini boleh menimbulkan bau busuk jika berlarutan.



4. dari aliran parit yang tersumbat.

Air kumbahan dari sektor perumahan yang dialirkan ke dalam parit boleh juga mendatangkan pencemaran bau, apabila parit ini dipenuhi sampah-sarap yang menyebabnya tersumbat.

5. pelepasan habuk yang tersebar melalui udara.
Contohnya ada sebahagian masyarakat yang melakukan aktiviti seharian mereka dengan melakukan aktiviti seharian mereka dengan melakukan pembakaran sisa kayu bagi membersihkan kawasan mereka tanpa mengambil kira kesan terhadap alam sekitar. Bagi aktiviti pertanian iaitu penanaman padi,mereka akan melakukan proses sekam padi selepas menuai padi. Mereka tidak sedar bahawa habuk daripada aktiviti tersebut akan tersebar melalui udara.


faktor lain yang boleh dihuraikan:
  • sistem pembentungan yang tidak dibaikpulih
  • sikap segelintir masyarakat
  • pencemaran sungai/air

3. Kesan kejadian pencemaran tersebut kepada manusia dan alam sekitar di tempat kawasan kajian
(huraikan kesan kejadian yang berkaitan dengan jelas dan teratur serta menunjukkan keaslian. Setiap kesan kejadian yang diberi mestilah mempunyai fakta, huraian serta contoh di kawasan kajian kes anda)

Kesan Pencemaran Udara
Kesan utama pencemaran udara adalah menjejaskan kesihatan manusia,  tumbuhan, haiwan, penipisan lapisan ozon, hujan asid, pemanasan global.
Kesan terhadap Kesihatan Manusia
  • menjejaskan sistem pernafasan.
  • Karbon monoksida gas yang dapat meracuni sistem pengangkutan oksigen dalam darah.
  • Habuk, asap, kabus, wap atau bahan-bahan lain juga menghalang penglihatan mata dan juga menjejaskan matamanusia.
Kesan Terhadap Tumbuh-tumbuhan
  • Tumbuh-tumbuhan mengalami kerosakan dengan tiga cara iaitu Nekrosis(Keguguran daun), Klorosis (Pertukaran warna), dan perubahan pertumbuhan.
  • Contohnya, tomato, kekacang, bayam dan kentang juga mengalami kerosakan dengan adanya gas ozon di udara.
  • Keadaan ini menyebabkan bumi kekurangan sumber makanan dan ekonomi sebahagian daripada pendudukdibumi juga terganggu.
Kesan Terhadap Haiwan
  • Bahan cemar seperti sulfur dioksida juga menyebabkan haiwan-haiwan terancam dan terbunuh.
  • Kematian haiwan itu disebabkan oleh penghadaman makanan haiwan yang tercemar setelah terdedah kepada bahan–bahan toksid yang terdapat di dalam udara.
  • Contoh lain adalah keracunan yang disebabkan oleh plumbum (Pb) yang telah membawa maut kepada haiwan.
Kesan Terhadap Bahan
  • Bahan-bahan cemar di udara juga mengotorkan permukaan bahan terutamanya kepada bangunan, pakaian, dan juga benda-benda lain.
  • Pengotoran berlaku akibat dari pengendapan asap atau zarah halus yang begaris pusat kira-kira 0.3 mikrometer.
  • Selain itu, kakisan logam juga berlaku disebabkan berlakunya kehadiran sulfur dioksida(SO2) di dalam udara.
  • Bahan cemar juga menyebabkan fabrik-fabrik mudah rosak.
Kesan Terhadap Lapisan Ozon
  • Pencemaran udara juga menyebabkan penyusutan lapisan ozon bumi yang melindungi hidupan di bumi ini daripada sinaran terus matahari.
  • Pembebasan gas klorofluorocarbon atau CFC yang digunakan dalam alat-alat penyembur, alat penyaman udara dan peti sejuk menipiskan lapisan ozon ini.
  • Pendedahan secara terus kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit yang amat berbahaya kepada manusia dan juga hidupan lain.
Kesan Rumah Hijau dan Pemanasan Global
  • Kesan yang paling ketara dan sedang hangat diperkatakan oleh seluruh warga dunia pada masa kini adalah kesan pemanasan global yang disebabkan oleh kesan rumah hijau.
  • Kenaikan suhu bumi disebabkan oleh pembebasan gas-gaskarbon dioksida dan terkumpul di dalam udara.
  • Gas karbon dioksida yang terlalu banyak menyebabkan haba di bumi terperangkap dan akhirnya suhu bumi meningkat dan persekitaranya menjadi panas.

Kesan Pencemaran Bau
Pencemaran bau yang berlarutan, boleh membawa kemudaratan kepada kita. Antara kesan-kesannya ialah :

1. Bau busuk
Longgokan sampah sarap di tempat pembuangan sampah, boleh menimbulkan bau busuk. Keadaan tandas yang kotor dan tanpa penjagaan kebersihan yang sempurna juga boleh menyebabkan bau busuk.

2. Udara tercemar
Longgokan najis haiwan seperti najis ayam juga boleh mencemarkan udara dengan gas metana dan ini juga boleh mendatangkan bau yang amat busuk. 

3. Pembiakan lalat
Longgokan sisa makanan yang dibuang oleh pihak kantin ke tempat pembuangan sampah menjadi punca pembiakan lalat yang banyak di persekitaran sekolah. Keadaan ini merupakan situasi yang tidak sihat bagi kesihatan warga sekolah.

4.Penyakit
Persekitaran yang dipenuhi lalat memudahkan merebaknya penyakit. Penyajian makanan yang tidak sempurna, mendedahkan makanan dihinggap lalat berkemungkinan berlakunya keracunan makanan. Situasi ini sudah tentu berbahaya kepada warga sekolah.
  
5.Air Tercemar
Parit yang dicemari dengan air kumbahan kawasan perumahan dan tersumbat bukan sahaja menimbulkan bau busuk tetapi juga menyebabkan berlakunya pencemaran air. Air yang tercemar dengan sisa kumbahan ini boleh mengancam hidupan air seperti ikan.


Kesan Pencemaran Air

(a) Kesan Kepada Manusia
Kesihatan manusia mungkin tergugat akibat terminum air yang dicemar yang mengandungi bakteria, virus, parasit dan bahan kimia yang lain. Sesetengah bahan pencemaran boleh menyebabkan barah. DDT (racun serangga) adalah toksik kepada manusia dan boleh mengubah kromosom. Yang menjadi mangsa adalah  penduduk asli yang kini tinggal di tepi sungai apabila mereka menggunakan air sungai untuk menjalankan aktiviti seharian mereka.

(b) Kesan Kepada Organisma Akuatik
Pencemaran air memberi kesan kepada ekosistem laut, sungai, tasik dan air dari tanah. Air yang tercemar oleh pembuangan sampah sarap, pengaliran sisa toksik dari kilang-kilang, dan minyak mentah dari kapal-kapal tangki yang bocor akan menyebabkan hidupan akuatik seperti pelbagai jenis ikan dan udang mati. Jika pencemaran sungai tersebut berlarutan, bukan sahaja pelbagai jenis hidupan air akan terus pupus tetapi juga pelbagai jenis burung atau unggas yang sumber makanannya bergantung kepada hidupan air akan terancam.Dengan itu, organisma akuatik akan mengalami kepupusan. Ini menyebabkan generasi yang akan datang tidak dapat melihat jenis-jenis organisma akuatik.


4. Mencadangkan langkah-langkah mengurangkan pencemaran alam sekitar tersebut.
(huraikan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan pencemaran yang anda pilih dengan jelas dan teratur serta menunjukkan keaslian. Setiap kesan kejadian yang diberi mestilah mempunyai fakta, huraian serta contoh di kawasan kajian kes anda. langkah-langkah di bawah juga buleh digunapakai untuk pencemaran-pencemaran yang lain mengikut kesesuaian)

Langkah mengurangkan pencemaran udara
Antara langkah untuk mengurangkan pencemaran udara adalah:
  • Menghijaukan kawasan
  • Penggunaan petrol tanpa plumbum
  • Program kitar semula
  • Kempen
  • Tindakan Undang-undang
  • Memperkenalkan Pendidikan Alam Sekitar

(a) Menghijaukan kawasan

Penanaman pokok seperti pokok buah-buahan di persekitaran taman perumahan dapat mengurangkan masalah peningkatan suhu! Selain itu, kandungan karbon dioksida dalam udara dapat dikurangkan dan meningkatkan kandungan gas oksigen melalui proses fotosintesisnya.



(b) Penggunaan petrol tanpa plumbum

Penggunaan petrol tanpa plumbum dapat mengurangkan kandungan plumbum dalam pelepasan asap kenderaan. Langkah ini dapat mengurangkan masalah jerebu yang sering berlaku di waktu pagi dan juga dapat mengelakkan masalah kesihatan seperti batuk dan selsema daripada berlarutan.



(c) Program kitar semula

Udara yang tercemar akibat pembakaran terbuka yang dilakukan penduduk di sekitar taman perumahan boleh diatasi dengan menggalakkan mereka menjual barang-barang yang boleh dikitar semula kepada peniaga barang terpakai. Antara barang yang boleh dikitar semula ialah surat khabar, majalah lama, kertas terpakai dan kotak kertas. Barang-barang ini boleh diproses semula untuk menghasilkan kertas baru.



(d) Kempen

Kempen mencintai alam sekitar yang disiarkan dalam TV dan radio hendaklah dihayati supaya alam sekitar kita terpelihara. Rasa tanggungjawab perlu disemai dalam diri setiap individu agar alam sekitar bersih dan selamat untuk generasi akan datang.



(e) Penukar bermangkin

Untuk mengurangkan pencemaran udara juga boleh digunakan dengan menukarkan catalytic converter. Pengurangan ini dilakukan dengan cara mewajibkan penggunaan penukar bermangkin (Catalytic Converters) dalam industri pembuatan kenderaan bermotor. Penukar bermangkin dua hala (Two-way Catalytic Converters) boleh mengurangkan hingga 98% unsur-unsur pencemaran dengan cara menukarkan Hidro Karbon dan Karbon Monoksida kepada Karbon Dioksida dan Wap. Penukar bermangkin tiga hala (three-way Catalytic Converters) pula boleh mengoksidakan oksida-ksida Nitrogen tertentu, tanpa mengurangkan kecekapan enjin atau menambahkan penggunaan minyak kenderaan bermotor.



(f) Tindakan Undang-undang
Salah satu langkah yang dapat digunakan untuk mengatasi pencemaran alam ialah pihak berwajib menghukum individu atau organisasi yang telah didapati bersalah mencemarkan alam sekitar. Pihak berwajib seperti Kementerian Sains, Teknologi, dan Alam Sekitar wajar menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada untuk menghukum pihak-pihak yang berkenaan. Hukuman yang dikenakan hendaklah setimpal dengan kesalahan pihak terbabit mencemarkan alam. 

(g) Memperkenalkan Pendidikan Alam Sekitar
Selain itu pihak sekolah hendaklah memperkenalkan pendidikan alam sekitar kepada murid-murid sekolah. Pendidikan alam sekitar melibatkan pelbagai aspek yang menjurus ke arah pengekalan alam yang sejahtera. Satu kurikulum yang khusus perlu digubal agar pendedahan yang sistematik dapat dilaksanakan. Kurikulum ini boleh diselitkan dalam mata-mata pelajaran lain dan boleh juga dijadikan mata pelajaran khusus. Hal ini bertujuan untuk menyemaikan kesedaran secara lebih berkesan.


Langkah mengurangkan pencemaran bau
Antara langkah untuk mengurangkan pencemaran bau adalah:
(huraikan mengikut ayat anda sendiri)
  • penguatkuasaan undang-undang
  • pemerkasakan sistem-sistem yang berkaitan
  • rancangan pembangunan
  • kempen berterusan dan praktikal
  • kepimpinan melalui teladan
  • penerapan dalam sistem pendidikan
  • Anugerah kualiti alam sekitar diperluaskan
  • gotong royong
contoh huraian:

(a) Gotong Royong
Selain itu, untuk mengatasi masalah longgokan sampah ini, pihak sekolah boleh juga melaksanakan program gotong-royong membersihkan kawasan sekolah. Ini boleh dilaksanakan melalui Program Gotong Royong Perdana yang menjadi aktiviti tahunan sekolah. Kawasan sekolah bukan sahaja bebas daripada pencemaran bau malah dapat menceriakan kawasan sekolah dengan penanaman pokok di sekitar kawasan sekolah. Aktiviti ini juga dapat menerapkan nilai cintakan sekolah dalam kalangan warga sekolah untuk memelihara persekitaran sekolah.

(b) Penguatkuasaan Undang-undang
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diberi kuasa untuk mengawasi mana-mana konsortium atau badan swasta yang dipertanggungjawabkan untuk mengangkut sampah.
Oleh itu pihak sekolah boleh menghantar surat kepada PBT seperti Majlis Perbandaran Kuantan untuk mengambil tindakan terhadap Konsortium Alam Flora apabila pihaknya tidak mengangkut sampah sebagaimana yang dijadualkan sehingga menimbulkan bau busuk akibat longgokan sampah yang banyak di tempat pembuangan sampah. 


Langkah-langkah Mengatasi Pencemaran Air
Langkah-langkah berkesan yang perlu dilaksanakan bagi mengatasi pencemaran air adalah seperti berikut:

(i) Penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling
- dipertingkatkan dengan menyekat pencemaran dari punca.Sisa-sisa kumbahan daripada industri dan loji-loji perlu dirawat terlebih dahulu dan mematuhi had yang ditetapkan sebelum dilepaskan ke dalam sungai. Kemudian, Kerajaan Tempatan mensyaratkan semua premis makanan dalam kawasan Kerajaan Tempatan memasang penapis sisa makanan untuk menghalang sisa makanan, minyak disalurkan terus memasuki sungai dan mencemarkannya.

(ii) Melaksanakan program ‘Peningkatan Kualiti Air Sungai’
- mempertingkatkan kualiti air sungai aktiviti peningkatan kualiti air sungai.

(iii) Kesedaran mengenai kepentingan air sungai dipertingkatkan.
Aktiviti-aktiviti meningkatkan kesedaran dan pendidikan alam sekitar kepada murid-murid dan orang ramai harus dipertingkatkan dalam usaha menyelesaikan masalah pencemaran sungai. Pada masa yang sama, pihak-pihak yang melakukan kesalahan dengan mencemarkan sungai atau alam sekitar, jika disabit kesalahan terus dikenakan hukuman denda  atau penjara atau kedua-duanya sekali.


5. Kesimpulan/ Rumusan
Kesimpulannya, rakyat dan kerajaan harus berganding bahu untuk mengatasi masalah pencemaran udara. Walaupun hal ini tidak boleh diatasikan dalam sekelip mata, tetapi dengan kerjasama daripada pelbagai pihak masalah pencemaran udara dapat diatasi. Kita harus memikirkan generasi-generasi yang akan dating memerlukan alam sekitar yang cantik dan nyaman untuk mereka hidup di dunia ini. Akhir sekali, sayangilah alam sekitar yang telah dicipta oleh tuhan.

6. Sumber/ Rujukan
Senaraikan sumber seperti internet, buku, jurnal, artikel, majalah, sumber orang dan sebagainya.
(lihat contoh penulisan sumber pada tugasan sejarah)

   ##########PANDUAN SAHAJA###########


1 comment:

  1. boleh saya dari sumber mana cikgu dapat konsep dan takrifan ini


    ReplyDelete