Tuesday 1 July 2014

PT3 SEJARAH -- BAHAN RUJUKAN

ARKIB : 29/07/2008

Bahasa Melayu mampu mantapkan perpaduan kaum

SERDANG 28 Julai - Kerajaan perlu melakukan beberapa perubahan terhadap sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sebagai usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara ini.
Cendekiawan negara, Profesor Diraja Ungku Aziz berkata, keunikan bahasa Melayu boleh menjadi alat komunikasi bagi memantapkan lagi perpaduan kaum yang telah lama wujud.
Menurut beliau, pada masa ini usaha menggunakan bahasa Melayu untuk mewujudkan perpaduan kaum masih belum berjaya sepenuhnya.
"Kebanyakan pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta masih belum menggunakan sepenuhnya dan menguasai bahasa Melayu dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama pada Seminar Permuafakatan Kementerian Pengajian Tinggi Bersama Kementerian Pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom.
Ungku Aziz menegaskan, sistem pembelajaran amat penting untuk mewujudkan perpaduan negara agar lebih mantap dan ampuh.
Menurutnya, Laporan Abdul Razak 1956 juga menekankan kepada matlamat pendidikan adalah untuk menyatukan dan menekankan kepada perpaduan.
Sehubungan itu, kata Ungku Aziz, perubahan yang dirancang perlu merangkumi semua peringkat persekolahan termasuk di sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Beliau menambah, Kementerian Pengajian Tinggi perlu menyediakan satu agihan sistem pelajaran paling mudah supaya pelajar dapat mempelajari bahasa Melayu dengan senang dari peringkat rendah hingga ke IPT.
"Kalau kita ada sistem pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu yang mudah tidak mustahil kita dapat lahirkan pelajar berwawasan bagi mewujudkan perpaduan kaum," katanya.
Sementara itu Alimudin berkata, beliau tertarik dengan cadangan yang diberikan oleh Ungku Aziz yang mahukan beberapa perubahan perlu dilakukan terhadap sistem pengajaran dan pembelajaran agar bahasa Melayu menjadi agen mewujudkan perpaduan kaum.
"Cadangan ini amat menarik dan pihak kami akan membuat pertimbangan wajar," katanya.
Beliau tidak menafikan bahawa bahasa Melayu dapat menjadi agen untuk mengeratkan lagi perpaduan kaum di negara ini.
Menurutnya, rakyat seharusnya dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik kerana ia boleh menyatukan masyarakat melalui komunikasi.
"Selain menguasai bahasa Melayu, kita tidak boleh mengabaikan bahasa Inggeris yang sering digunakan dalam sebarang urusan di peringkat antarabangsa khususnya dalam bidang ekonomi," katanya lagi.
Alimudin berkata, seminar yang diadakan itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai perancangan kedua-dua kementerian memberi penekanan kepada aspek kemahiran asas.
Selain ilmu pengetahuan, beliau berkata, pelajar perlu dilengkapi dengan kemahiran berkomunikasi, kemahiran teknologi maklumat, kemahiran membuat keputusan, berfikir secara kreatif dan inovatif.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0729&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm#ixzz36E08wwf8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment