Monday 30 June 2014

PT3 kajian Sejarah


Jadual kerja / senarai semak 

 Objektif kajian 

Mengenalpasti isu-isu perpaduan kaum secara umum
Mengenalpasti kepentingan perpaduan kaum kepada negara ini
Menghuraikan cabaran dan kekangan dalam usaha mengekalkan perpaduan kaum di negara ini
Menyenaraikan langkah-langkah untuk mengekalkan dan memantapkan perpaduan kaum di Malaysia 

 Menetapkan kaedah kajian 

Membaca akhbar tempatan
Merujuk buku teks atau rujukan
Melayari internet berkaitan dengan isu perpaduan

 Menetapkan tajuk – perpaduan kaum di Malaysia
 Menyediakan kerangka kasar penulisan

Kerangka awal

Tajuk rencana
Nama penulis
Isi kandungan
Pengenalan isu perpaduan secara umum

Kepentingan perpaduan kaum

Faktor yang menyumbang kepada pengukuhan perpaduan kaum

Cabaran mengekalkan perpaduan kaum

Langkah untuk mengekalkan dan menetapkan perpaduan kaum di Malaysia

Membuat rumusan

Meletakkan rujukan

Tarikh
Huraian

Mendengar taklimat daripada guru

Membuat rujukan lanjut ke laman web kementerian Pendidikan/ LPM

Bertanya guru untuk mengenalpasti tugasan

Menentukan tajuk tugasan

Membuat kajian perpustakaan

Membuat kajian internet

Membuat kerangka kasar

Merujuk guru tentang huraian tugasan

Membuat draf akhir

Menulis rencana ikut format

Menyemak tugasan

Menghantar laporan

Sunday 29 June 2014

KAJIAN KES PT3 SEJARAH -- Usaha yang dilakukan ke arah memantapkan perpaduan kaum di Malaysia

Usaha yang dilakukan ke arah memantapkan perpaduan kaum di Malaysia

Dengan mengambil tiga dasar utama bincangkan usaha-usaha yang dilakukan ke arah memantapkan perpaduan kaum di Malaysia.
1.0 PENGENALAN.
Sebelum Malaysia berdiri teguh sebagai sebuah negara membangun, Malaysia telah melalui pelbagai pengalaman pahit semasa zaman penjajahan Barat yang bermula  daripada penjajahan Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris. Pengalaman pahit tersebut tidak mahu diulang lagi di mana berlakunya pergaduhan, pembunuhan, pertumpahan darah, dan sebagainya. Teriakan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957, tidak semudah memetik kedua belah jari. Kemerdekaan yang dinikmati oleh generasi hari ini adalah hasil perjuangan dan perpaduan masyarakat lampau. Kini, rakyat Malaysia boleh hidup dengan aman dan damai dalam satu rumpun walaupun berlainan adat resam, agama, dan juga budaya. Oleh kerana Malaysia didiami dan dimiliki oleh sebuah masyarakat majmuk[1], maka perpaduan kaum amat penting untuk memastikan negara tidak diganggu gugat oleh negara asing. Bagi Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, beliau pernah menyatakan bahawa perpaduan yang rapuh mampu menggoncang keamanan sesebuah negara khususnya bagi negara seperti Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa. “Masa depan kita bergantung pada keamanan, keselamatan dan kesejahteraan Malaysia. Kita mestilah menjadikannya sebagai tanggungjawab kita untuk menjaga negara kita serta mereka yang tinggal di sini selama bebrapa generasi akan datang.”[2] Tanpa perpaduan, segala yang dibina dalam negara selama ini akan hancur berkecai seumpama kaca yang jatuh berderai.

1.1 PERISTIWA 13 MEI 1969.
        Usaha serius Malaysia kearah perpaduan kaum dilihat mula bercambah setelah tercetusnya tragedi 13 Mei 1969 yang pernah menggugat keselamatan dan keharmonian negara. Apabila meninjau semula tragedi 13 Mei ini, kita mengetahui bahawa peristiwa tersebut merupakan satu titik sejarah hitam dalam negara Malaysia yang hampir-hampir menghancurkan keutuhan negara pada satu ketika dahulu. Punca utama rusuhan kaum ini berlaku adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan pendapat, pelajaran, dan isu sosial antara kumpulan etnik. Justeru, perbezaan jurang kaum perlu dikurangkan atau dihapuskan. Tragedi ini juga adalah ekoran daripada pilihanraya kebangsaan yang telah berlansung pada 10 Mei 1969. Semasa kempen pilihanraya, isu-isu yang sensetif yang menyentuh emosi dan sentimal perkauman telah disuarakan dengan lantang. Perarakan yang dilakukan oleh parti pembangkang secara langsungnya juga membangkitkan rusuhan antara kaum terutamanya antara Melayu dan Cina pada ketika itu. Sebenarnya, hubungan aman atau intim antara pelbagai kaum ketika itu tidak wujud akibat daripada dasar pecah dan perintah serta pengenalan kaum mengikut kegiatan ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan British. Selain itu, ia juga berpunca daripada jalinan tekanan sejarah yang menyelubungi negara termasuk jurang generasi dan interprestasi terhadap struktur perlembagaan yang berbeza antara kaum. Daripada sejarah 13 Mei ini, kita mempelajari bahawa betapa pentingnya perpaduan dalam mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara. Oleh itu, kerajaan memperkenalkan beberapa dasar sebagai usaha untuk memantapkan sekali gus mengekalkan perpaduan kaum di Malaysia.
1.2 KONSEP PERPADUAN DAN INTEGRASI.
        Perpaduan membawa maksud  “sesuatu perihalan atau proses penggabungan dan kesepakatan untuk  menjadi satu”[3].Perpaduan juga boleh diertikan sebagai penyatuan berbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial dan kebudayaan yang berbeza serta menjadi entiti fizikal. Perpaduan juga merujuk kepada hubungan bersifat toleransi yang diwujudkan secara bersama-sama antara satu dengan lain dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza-beza demi mencapai sesuatu matlamat.
      Integrasi[4] pula merujuk kepada proses penyatuan kelompok atau masyarakat yang berbilang kaum yang berlainan seperti Melayu, Cina, India yang berbeza daerah atau wilayah, tempat tinggal, adat resam, cara hidup, latar belakang, kepercayaan dan pegangan agama yang berlainan oleh entiti yang terikat oleh norma dan nilai masyarakat demi melahirkan satu identiti dan nilai-nilai murni bersama serta perasaan cinta akan negara.
2.0 USAHA-USAHA KE ARAH MEMANTAPKAN PERPADUAN KAUM DI  MALAYSIA:
       Prakarsa-prakarsa yang diambil oleh kerjaan telah memberi kesedaran kepada anggota masyarakat khususnya masyarakat Malaysia tentang kepentingan perpaduan dan integrasi nasional. Proses pemantapan perpaduan serta integrasi nasional yang dilaksanakan oleh kerajaan ialah memperkenalkan beberapa dasar mencakupi bidang politik,ekonomi, dan sosial.
2.1 DASAR EKONOMI BARU (DEB)   
       Selepas negara dikejutkan dengan peristiwa 13 Mei 1969[5], maka Tun Abdul Razak iaitu Perdana Menteri Malaysia Kedua pada tahun 1970 telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Peristiwa rusuhan kaum merupakan kejutan sosiopolitik terhadap kehidupan masyarakat majmuk di negara kita yang dipisahkan jurang sosioekonomi yang sangat ketara oleh penjajah tanpa diatasi sepenuhnya oleh pemimpin terdahulu. Maka kerajaan mengambil strategi yang tepat dengan mengagihkan kekayaan negara kepada semua kaum terutama kaum bumiputera yang jauh ketinggalan dalam menikmati kemakmuran dalam negara sendiri menerusi DEB[6] yang sepatutnya menjadi hak kaum bumiputera. Walau bagaimana pun, masyarakat bukan bumiputera juga tidak dinafikan hak mereka. Dalam pelaksanaan DEB, terdapat dua matlamat yang digariskan dalam dasar ini iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat di negara kita. Kedua-dua matlamat ini mempunyai tuju arah yang satu iaitu mengintegrasikan dan memupuk perpaduan masyarakat majmuk Malaysia.

2.1.1 STRATEGI MEMBASMI KEMISKINAN
       Pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum merupakan matlamat utama DEB kerana didapati bahawa orang Melayu lebih banyak menghadapi kemiskinan berbanding kaum-kaum yang lain. Didapati juga orang Melayu masih jauh ketinggalan dan kurang mampu bersaing dengan kaum-kaum lain walaupun Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik.Oleh itu, dasar DEB memodenkan keadaan kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah sama ada di bandar atau di luar bandar dengan meningkatkan lagi penyediaan kemudahan-kemudahan asas dan juga yang bersabit dengan pendidikan seperti bantuan buku dan biasiswa.[7] Dengan memodenkan keadaan kehidupan rakyat dengan menyediakan kemudahan asas seperti pendidikan, perkhidmatan, perubatan, bekalan air dan bekalan elektrik[8], keselesaan hidup dapat dinikmati oleh masyarakat sekaligus jurang kemiskinan dapat dikendurkan. Dan yang lebih penting ialah perpaduan dapat dibentuk kerana setiap anggota masyarakat dapat menggunakan dan menikmati kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan tanpa mengira bangsa dan kaum.
        Kerajaan mengambil langkah menubuhkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada semua kaum tanpa terikat lagi dengan dasar ekonomi pecah dan perintah penjajah.Seterusnya, kerajaan juga telah mengalakkan penyertaan semua kaum dalam sektor-sektor yang berpotensi tinggi dan daya pengeluaran yang tinggi seperti perniagaan, perindustrian dan juga perkhidmatan[9]. Hal ini bertujuan agar rakyat Malaysia yang mempunyai modal yang besar digalakkan menceburkan diri dalam bidang berpotensi tinggi untuk membantu pembangunan ekonomi negara dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada semua kaum sekaligus memupuk perpaduan antara kaum.
       DEB juga turut memberi ruang kepada pembangunan bandar, Kerajaan telah mencorakkan perbandaran-perbandaran baru dan pembinaan industri-industri baru supaya kepentingan kaum Melayu sentiasa diuatamakan. Kerajaan telah menitikberatkan latihan kemahiran kepada kaum Melayu agar mereka berkebolehan mengurus, mentadbir, atau memiliki perusahaan-perusahaan. Perkara ini telah mengalakkan penghijrahan orang Melayu dari luar bandar ke bandar. Orang Melayu yang berhijrah ke bandar pada umumnya terdiri daripada golongan msikin muda dalam lingkungan umur antara 20-30 tahun[10].
      Hal ini disebabkan tawaran kerajaan dalam DEB kepada mereka sangat baik sekaligus untuk membebaskan diri mereka daripada belenggu kemiskinan. Untuk mencapai matlamat itu, pelbagai institusi disaran memberi peluang kepada bumiputera iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Nasional (PERNAS), Federal Industrial Development Authority (FIDA), Malaysian Industrial Development Finance) dan Urban Development Finance) dan Urban Development Authority (UDA) yang menyediakan keperluan-keperluan teknikal dan bantuan kewangan kepada kaum Melayu dan bumiputera yang lain dalam bidang moden, sama ada secara keseluruhan ataupun secara usaha bersama[11].
     Tahun 1990, telah menandakan berakhirnya DEB yang menjadi asas rancangan pembangunan negara untuk jangka masa 1970-1990 melalui zaman tiga Perdana Menteri iaitu Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohammad[12]. DEB banyak memberi pelbagai sumbangan kepada kehidupan masyarakat majmuk di negara kita sekali gus keamanan dapat dikekalkan sehingga hari ini. DEB tamat pelaksanaannya pada tahun 1990. Setelah tempoh Dasar Ekonomi Baru tamat, kerajaan telah menubuhkan Dasar Pembangunan Nasional yang merupakan usaha atau kesinambungan kepada perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Semangat DEB juga masih dikekalkan dalam pembangunan ekonomi negara pada masa kini dan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak sering kali menekankan semangat DEB wajar diteruskan demi pembangunan kaum bumiputera dan kaum-kaum lain di samping memupuk perpaduan antara kaum.
2.3 DASAR PENDIDIKAN
     Sistem pendidikan merupakan asas penting bagi membangunkan masayarakat dan negara ke arah yang lebih baik. Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk di mana setiap dasar yang dilaksanakan perlu selari dengan keperluan masyarakat. Dasar pendidikan yang dilaksanakan bukan shaja bertujuan untuk memberi pelajaran di sekolah semata-mata tetapi sebagai alat untuk merealisasikan perpaduan negara. Pada peringkat permulaan, kerajaan British telah memperkenalkan Laporan Barnes pada 1950[13] sebelum negara ini ingin mencapai kemerdekaan. Tujuannya ialah supaya Tanah Melayu boleh berkerajaan sendiri dengan perpaduan kaum yang berlaku. Tambahan pula, tentangan kuat komunis pada masa itu menyebabkan British khuatir kaum-kaum di negara ini akan terpengaruh dengan komunis sekali gus menyebabkan huru-hara. Laporan Barnes mencadangkan bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar pada peringkat sekolah rendah serta bahasa Inggeris pada peringkat sekolah menengah dan peringkat yang lebih tinggi. Cadangan ini diharapkan dapat merapatkan jurang komunikasi antara kaum serta merapatkan hubungan mereka.
         Masyarakat Cina menentang cadangan ini kerana dikatakan menggugat bahasa ibunda mereka. Masyarakat Cina mencadangkan Laporan Fenn-Wu supaya sekolah vernakular Cina dikekalkan walaupun mereka bersetuju dengan sistem pendidikan kebangsaan.  Ordinan Pelajaran 1952 kemudiannya diperkenalkan dengan mengambil kira kedua-dua laporan di atas. Walau bagaimanapun, ordinan ini tak dapat dijalankan kerana tentangan masyarakat Cina dan India, kekurangan kewangan & ancaman komunis.Selepas itu, kerajaan yang dipelopori penduduk Tanah Melayu, Parti Perikatan telah memperkenalkan Laporan Razak 1956[14] dengan mengemukakan sistem persekolahan yang sama dan penyeragaman kurikulum yang bercorak kebangsaan. Penyata ini bertujuan menyuburkan semangat perpaduan kaum.Kemudian, Laporan Rahman Talib diperkenalkan yang menekankan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ia menjadi Akta Pelajaran 1961[15]. Jawatankuasa Kabinet telah mengkaji keberkesanan sistem pendidikan serta mempertingkatkan kualitinya dengan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) & Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).
      Jika kita lihat pada sistem pendidikan kini, kerajaan telah melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi pelengkap kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dasar ini penting dalam memupuk perpaduan kaum dan integrasi nasional. Sebagai intihan, dasar pendidikan yang kerajaan jalankan menitikberatkan dasar dalam membentuk perpaduan. Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini dan kajian sejarah yang diperoleh, dasar pendidikan membentuk perpaduan kaum.Cara-cara system pendidikan membentuk perpaduan ialah melalui:

2.3.1 Sistem Persekolahan Yang Sama Bagi Semua
      Pada asasnya Laporan Razak mencadangkan penubuhan sekolah-sekolah umum yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantarnya dan sekolah-sekolah jenis umum menggunakan bahasa pengantar Cina, Tamil dan Inggeris. Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk perpaduan jelas dinyatakan. Laporan ini telah menjadi rujukan sebagai dasar pendidikan kerajaan sehingga kini dan bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di semua peringkat sekolah.


2.3.2 Bahasa Kebangsaan Sebagai Bahasa Pengantar Utama.
 Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa harmoni antara kaum di negara ini.
2.3.3  Kurikulum Yang Sama
       Kurikulum ialah satu rancangan pendidikan yang terkandung di dalamnya segala ilmu pengetahuan serta kemahiran, nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada ahli-ahlinya. Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan pelajar yang lengkap dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi. Dalam konteks negara Malaysia, kurikulum juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendukung cita-cita negara dalam mewujudkan perpaduan yang berpandukan Rukun Negara di samping menghasilkan tenaga rakyat yang terlatih untuk keperluan negara (modal insan)[16].
2.3.4 Sukatan pelajaran yang seragam
            Sukatan pelajaran yang sama isi kandungannya yang disyorkan oleh Penyata Razak adalah dianggap sebagai salah satu asas sistem pelajaran kebangsaan bagi mewujudkan perpaduan negara. Mata pelajaran Sejarah memainkan peranan penting ke arah matlamat pembangunan. Melalui pelajaran Sejarah diharapkan dapat membina semangat perpaduan dan perasaan hormat menghormati terutama dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan adat resam. Sukatan pelajaran yang seragam membolehkan pandangan dunia (world view) setiap kaum di Malaysia hampir sama dan  tidak mewujudkan perselisihan dalam persefahaman.
2.3.5 Peperiksaan yang seragam
Rancangan kerajaan untuk menyeragamkan kurikulum di sekolah-sekolah telah diperkukuhkan lagi dengan mewujudkan satu sistem peperiksaan yang seragam[17]. Dengan adanya sukatan pelajaran dan peperiksaan yang seragam, pelajaran para Pelajar tidaklah terganggu apabila terpaksa berpindah sekolah. Langkah ini boleh menolong proses menyatupadukan pelajar berbilang kaum di samping mewujudkan keperibadian yang sama. Jika kita lihat sekarang, dasar pendidikan yang dijalankan kerajaan kini menampakkan hasilnya. Oleh itu, ditekankan bahawa pendidikan menjadi alat membentuk perpaduan kaum. Belajar dan kajilah sejarah untuk mendapatkan manfaat berguna dan meningkatkan kualiti hidup kita. Kita sepatutnya mencontohi Dr. Mahathir Mohamad yang rajin membaca dan mengkaji bahan sejarah serta berjaya menaikkan nama Malaysia di persada dunia dengan kekuatan pembacaannya sehingga beliau mampu mencetuskan idea Wawasan 2020.
2.4 DASAR WAWASAN 2020
       Menjelang tahun 2020, Datuk Seri Mahathir Mohamad berharap menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya. Wawasan beliau tersebut adalah merupakan satu falsafah yang bermatlamatkan pembangunan yang berwajahkan kemanusiaan dengan persekitaran seimbang. Sebenarnya, idea wawasan 2020 ini diinspirasikan oleh beliau pada 28 Februari 1991 dengan menjadikan sejarah kemajuan Jepun sebagai ‘role model’. Pada ketika itu, Mikado Meiji sebagai pemerintah negara Jepun mengambil masa selama 30 tahun untuk maju standing dengan negara maju lain.Kita lihat bagaimana seorang pemimpin kita seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tekun membaca dan mengkaji sejarah telah mengaplikasikannya dalam memajukan negara kita. Beliau mempunyai pandangan yang jauh dan bijak mentadbir negara. Kemajuan yang dimaksudkan bukan terhad kepada bidang ekonomi sahaja malah ia juga merangkumi segala aspek kehidupan iaitu ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kesepaduan, kejiwaan dan kebudayaan.
      Dalam wawasan 2020 ini, terdapat sembilan cabaran[18] yang perlu diharungi oleh semua pihak. Cabaran yang pertama ialah mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, berkerjasama sepenuhnya, secara adil dan didukung oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.Cabaran yang kedua ialah mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, sedar semua kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain. Cabaran ketiga membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun.Keempat, mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama, dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika paling tinggi.Kelima mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama, meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara. Keenam mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.Ketujuh mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mana kepentingan masyarakat lebih utama daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada negara atau individu tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh.Kelapan memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Iaitu masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama di mana wujud perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak akan wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi, dan kesemua kemunduran ekonomi berdasarkan kaum.Akhir sekali cabaran kesembilan mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.


       Berdasarkan sembilan cabaran tersebut, kita dapat melihat cabaran-cabaran yang perlu dilalui bersangkut-paut dengan setiap ahli masyarakat di Malaysia. Oleh kerana rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai entik, maka perpaduan perlu dibentuk dan dikukuhkan agar sembilan cabaran tersebut dapat dilalui bersama. Sepeti mana pepatah Melayu yang menyebut “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”, nilai perpaduan ini harus diaplikasikan dalam politik, ekonomi, dan sosial. Ketahuilah  tunjang utama pencapaian wawasan 2020 ini adalah perpaduan.

3.0 KESIMPULAN.
     Perpaduan integrasi nasional masyarakat majmuk adalah perlu supaya rakyat yang berbilang bangsa dan kaum hidup aman dan damai. Dengan perpaduan yang dibentuk di negara kita Malaysia, mampu menjadi ‘role model’ kepada negara lain. Kita juga hendaklah bersyukur kerana dapat hidup dengan makmur, bebas daripada peperangan, perbalahan, dan sebagainya. Kita juga haruslah berbangga dengan usaha-usaha drastik kerajaan yang memperkenalkan dasar-dasar sebagai usaha untuk mengekalkan perpaduan kaum di Malaysia. Untuk memastikan agar kemerdekaan dan kemakmuran terus dicapai, perpaduan hendaklah terus diwujudkan antara kaum melalui aspek politik, ekonomi, dan sosial. Justeru, diri setiap warganegara itu sendiri perlu dibangunkan dalam usaha mencapai perpaduan dan itegrasi nasional. Segala isu-isu sensitif seperti yang melibatkan perkauman dan keagamaan hendaklah dielakkan. Sementara amalan nilai-nilai murni seperti bersopan-santun, saling hormat menghormati, bertegur-sapa dan lain-lain hendaklah diterapkan dalam kehidupan seharian.


4.0 BIBLIOGRAFI.
Abu Bakar Nordin. Reformasi Pendidikan dalam Menghadapi Cabaran 2020. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.1994 hal 11.

Chamhuri Siwar dan Surtahman Kastin Hasan, Ekonomi Malaysia Edisi Kedua, Selangor : Longman, 1988, hal, 145.

Kamus Dewan Edisi Keempat (1994)
Mohd. Shahari Ahmad Jabar et.al, Negara Kita : Sejarah, Pentadbiran dan Dasar Pembangunan, Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara, 1983, hal. 172.

Mohd . Yusof Kasim dan Md. Zyadi Md. Tahir, Ekonomi Malaysia Beberapa Isu Utama, Bangi : Penerbit UKM, 1992, hal, 63.

Nazaruddin Hj. Mohd Jali et.al, Pengajian Malaysia: Kenegaraan dan Kewarganegaraan Edisi Kedua, Selangor : Prentice Hal, 2004, hal. 220 disebut oleh J.S Furnival Colonial Policy and Practice : A Comparative Study of Burma Netherlands India (Cambridge : 1956) bab 1 halaman 1-23.

P.Sivarajan Phd & S.Malar Arasi, Sejarah Sosio Ekonomi Malaysia Sehingga 1970 , Malaysia : Penerbitan Multimedia Sdn Bhd. 2012 hal 75.

Sanusi Othman, “Dasar Ekonomi Baru dan Pencapaian Orang Melayu Di Kota” dalam bukuPembangunan Di Malaysia : Perencanaan, Pelaksanaan dan Prestasi, Kuala Lumpur : Persatuan Sains Sosial Malaysia, 1987, hal. 106.

Shahril @ Charil Marzuki & Habib Mat Som. Isu Pendidikan di Malaysia: Sorotan dan Cabaran. Kuala Lumpur : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.1999 hal 9.

Syed Ibrahim (penerbit), Malaysia Kita, Petaling Jaya : International Law Book Seevices, 2007, hal. 317.
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Coretan Kenangan merupakan buku setebal 508 muka surat merakam 53 artikel yang pernah disiarkan dalam ruangan Looking Back, akhbar The Star. Artikel-artikel ini telah ditulis sendiri oleh Tunku dan diterbitkan antara 16 Disember 1974 hingga 16 Ogos 1976.




[1] Nazaruddin Hj. Mohd Jali et.al, Pengajian Malaysia: Kenegaraan dan Kewarganegaraan Edisi Kedua, Selangor : Prentice Hal, 2004, hal. 220 disebut oleh J.S Furnival Colonial Policy and Practice : A Comparative Study of Burma Netherlands India(Cambridge : 1956) bab 1 halaman 1-23.

[2]Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Coretan Kenangan merupakan buku setebal 508 muka surat merakam 53 artikel yang pernah disiarkan dalam ruangan Looking Back, akhbar The Star. Artikel-artikel ini telah ditulis sendiri oleh Tunku dan diterbitkan antara 16 Disember 1974 hingga 16 Ogos 1976.
[3] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (1994).

[4]  Nazaruddin Hj. Mohd Jali et.al, Pengajian Malaysia: Kenegaraan dan Kewarganegaraan Edisi Kedua, Selangor : Prentice Hal, 2004, hal.221-222.
[5]  Mohd. Shahari Ahmad Jabar et.al, Negara Kita : Sejarah, Pentadbiran dan Dasar Pembangunan, Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara, 1983, hal. 172.
[6]  Dasar Ekonomi Baru adalah satu formula yang dilancarkan oleh pihak kerajaan dalam tahun 1970 melalui RMK (1971 – 1975) untuk membetulkan ketidakseimbangan sosioekonomi yang wujud di negara kita ini antara kaum. Matlamat utama adalah Perpaduan Negara. Ibid.
[7] Nazaruddin Hj. Mohd Jali et.al, Pengajian Malaysia: Kenegaraan dan Kewarganegaraan Edisi Kedua, Selangor : Prentice Hal, 2004, hal. 282.
[8] Syed Ibrahim (penerbit), Malaysia Kita, Petaling Jaya : International Law Book Seevices, 2007, hal. 317.
[9] Nazaruddin Hj. Mohd Jali et.al, Pengajian Malaysia: Kenegaraan dan Kewarganegaraan Edisi Kedua, Selangor : Prentice Hal, 2004, hal. 282.
[10] Sanusi Othman, “Dasar Ekonomi Baru dan Pencapaian Orang Melayu Di Kota” dalam buku Pembangunan Di Malaysia : Perencanaan, Pelaksanaan dan Prestasi, Kuala Lumpur : Persatuan Sains Sosial Malaysia, 1987, hal. 106.
[11] Chamhuri Siwar dan Surtahman Kastin Hasan, Ekonomi Malaysia Edisi Kedua, Selangor : Longman, 1988, hal, 145.
[12] Mohd . Yusof Kasim dan Md. Zyadi Md. Tahir, Ekonomi Malaysia Beberapa Isu Utama, Bangi : Penerbit UKM, 1992, hal, 63.
[13] Shahril @ Charil Marzuki & Habib Mat Som. Isu Pendidikan di Malaysia: Sorotan dan Cabaran. Kuala Lumpur : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.1999 hal 9.
[14] Abu Bakar Nordin. Reformasi Pendidikan dalam Menghadapi Cabaran 2020. Kuala Lumpur:
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.1994 hal 11.
[15] P.Sivarajan Phd & S.Malar Arasi, Sejarah Sosio Ekonomi Malaysia Sehingga 1970 , Malaysia : Penerbitan Multimedia Sdn Bhd. 2012 hal 75.

[16] P.Sivarajan Phd & S.Malar Arasi, Sejarah Sosio Ekonomi Malaysia Sehingga 1970 , Malaysia : Penerbitan Multimedia Sdn Bhd. 2012 hal 72.
[17] Ibid  hal 72.